C) MENJAYAKAN KEBERHASILAN PENDIDIKAN YANG DIMAKTUBKAN DALAM FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN
MUHAMMAD ADLI BIN SALMIZI, D20212099215
Falsafah Pendidikan Kebangsaan mempunyai matlamat-matlamat yang ingin dicapai seperti mempercayai dan patuh kepada Tuhan, berilmu pengetahuan, memupuk perpaduan masyarakat berbilang kaum, berakhlak mulia, mempunyai sahsiah yang seimbang serta bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama dan negara. Jelas bahawa tujuan pendidikan tinggi melalui FPK tidak terbatas kepada taraf pengajian ijazah atau diploma sahaja tetapi mendorong kepada pembentukan sahsiah diri secara seimbang dan menyeluruh agar menjadi insan yang bijak, bertanggungjawab, berbudi pekerti dan mampu memberi sumbangan kepada masyarakat mahupun negara. Oleh itu, guru wajib memainkan peranan bagi menjayakan keberhasilan pendidikan yang termaktub dalam FPK.
Antara peranan guru ialah mengembangkan potensi dan mengasah bakat pelajar secara menyeluruh merangkumi semua aspek iaitu jasmani, rohani, emosi, dan intelek yang merupakan objektif utama FPK. Aspek jasmani dapat dicapai melalui aktiviti kokurikulum yang disertai oleh pelajar yang aktif di samping melahirkan pelajar-pelajar yang sihat dan cergas. Aspek emosi, rohani dan intelek pula adalah dengan melibatkan pelajar-pelajar dalam setiap aktiviti pembelajaran di dalam kelas melalui suasana pembelajaran yang menarik dan meriah serta menggalakan mereka menyertai program-program ilimiah seperti forum, debat atau pidato untuk memantapkan lagi modal insaniah mereka. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu murid berfikiran terbuka, dan tergolong dalam golongan kelas minda pertama.
Selain itu, guru perlu memupuk minat murid terhadap ilmu untuk melahirkan pelajar yang berilmu dan berpengetahuan tinggi. Hasrat ini dapat dicapai melalui guru-guru yang bersungguh-sungguh dam mengambil berat tentang kepentingan ilmu kepada pelajar kerana ia merupakan kunci kepada kejayaan seseorang. Penelitian dan penekanan perlu diberikan ketika proses pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dijalankan agar penyampaian ilmu yang ingin disampaikan akan lebih berkesan. Hal ini disebabkan proses PdPc yang menyeronokkan dan meriah dapat menarik keterujaan pelajar untuk meneroka dan menghasilkan sesuatu yang baharu sekaligus cenderung untuk menjadi seorang yang kreatif dan maju.
Seterusnya, FPK dapat dijayakan melalui individu yang berketerampilan menarik dan kemas. Perkara ini meliputi aspek-aspek seperti pemikiran, kepercayaan dan perasaan yang mana ingin melahirkan individu yang mempunyai kemahiran dan kecekapan dalam menjalankan sesuatu tugas atau amanah. Hal ini penting bagi memastikan keseimbangan pendidikan dari segi rohani, jasmani dan intelek terhasil. Antara ciri-ciri individu berketerampilan ialah memiliki kelayakan yang wajar bagi menjalankan sesuatu tugas yang membolehkan individu mempunyai keyakinan bagi menjalankan tugas dengan lebih baik dan kemas. Apabila mahir serta berkelayakan, maka individu mampu melaksanakan tugas dengan cekap, tangkas dan sempurna. Dengan ini juga individu tersebut mampu memberi dan menyampaikan ilmu yang dimiliki kepada orang lain yang memerlukan. Dalam pendidikan, kompenan-kompenan yang harus di ambil kira ialah penampilan secara fizikal dimana seseorang pelajar harus memainkan peranan dalam penampilan mereka. Sebagai contoh, pakaian pelajar perlu kemas dan mengikut kod etika pakaian serta harus mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Oleh itu, keterampilan dapat dilihat melalui elemen bagaimana pandangan seseorang terhadap diri sendiri dan juga orang lain yang berkaitan dengan aspek positif atau negatif pemikiran seseorang itu terhadap diri mereka dan orang lain.
Di samping itu, kepercayaan kepada Tuhan merupakan satu elemen yang sangat penting dalam pembentukan identiti negara Malaysia. Majlis Gerakan Negara telah membentuk rukun negara dengan meletakkan prinsip kepercayaan kepada Tuhan pada tempat yang pertama pada 31 Ogos 1970 demi memupuk perpaduan dan ketenteraman negara. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya prinsip ini ke arah pembentukan negara Malaysia yang aman dan harmoni yang terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa, agama, budaya, bahasa, dan sebagainya. Perkara yang sangat dititikberatkan adalah berkaitan dengan soal keagamaan iaitu kepercayaan kepada Tuhan yang termaktub dalam elemen yang ketujuh dalam pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Hal ini penting kerana semua pelajar Islam diwajibkan mempelajari dan menduduki subjek yang berkaitan dengan Pendidikan Agama Islam dalam peperiksaan awam sementara pelajar bukan Islam diberikan pelajaran Pendidikan Moral. Kewajipan ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa pelajar-pelajar dapat mengamalkan konsep kepercayaan kepada Tuhan kerana mereka telah diajar perkara tersebut di dalam kelas.
Tuntasnya, keberhasilan ini bergantung kepada sejauhmana guru-guru sebagai pelaksana dapat memahami dan menterjemahkan hasrat tersebut menerusi peranan yang wajib ditunaikan dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Negara. Hal ini secara tidak langsung mampu menjana dan membina modal insan yang berkualiti. FPK ini berfungsi sebagai panduan kepada pendidik untuk terus produktif dan kreatif dalam melaksanakan pendidikan sama ada dalam bidang kurikulum mahupun kokurikulum. FPK ini juga menjadi sumber yang memberi pedoman dan hala tuju kepada segala usaha untuk memajukan bidang pendidikan. Justeru itu, untuk menjayakan keberhasilan pendidikan yang dimaktubkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, guru memainkan peranan yang sangat penting dalam melaksanakan usaha dan strategi-strategi yang dipersiapkan seperti yang telah dihuraikan di atas.
Comments
Post a Comment