B) MENTERJEMAH BENTUK DAN PROSES PENDIDIKAN BAGI MEREALISASIKAN HASRAT FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN
ALEXIOUS JR ALEX, D20212099214
FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN
“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara”
BENTUK PENDIDIKAN
Pendidikan berterusan atau pendidikan sepanjang hayat adalah sebuah konsep yang menekankan proses pembelajaran secara berterusan iaitu, seseorang akan dididik dan diajar melalui tiga elemen pendidikan iaitu pendidikan formal, pendidikan informal dan pendidikan nonformal. Proses ini boleh berulang di sepanjang hayat bagi seseorang bermula sejak dalam kandungan hingga ke akhir hayatnya. Pendidikan sepanjang hayat ialah satu konsep yang ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendidikan berterusan ialah pembangunan potensi manusia melalui proses pembelajaran berterusan yang memotivasikan dan mengupayakan individu menguasai ilmu, menghayati nilai murni, budaya dan kepercayaan yang diperlukan sepanjang hayat untuk meluaskan pengalaman hidupnya. Pendidikan berterusan ini merupakan asas penting dalam membina masyarakat dan negara yang bertamadun tinggi dan maju. Terdapat tiga peringkat yang akan dilalui oleh seseorang individu dalam pendidikan berterusan iaitu peringkat awal, peringkat sekolah dan peringkat lepas sekolah.
Pada peringkat awal, seseorang akan menerima pendidikan secara informal yang banyak memberi penekanan kepada aspek-aspek seperti pertuturan, bimbingan agama, adab tatasusila, penjagaan kesihatan dan kebersihan serta perhubungan fizikal. Pendidikan informal adalah pendidikan yang membina kemahiran untuk kehidupan dalam jangka masa masa berterusan dimana seseorang akan mempelajari bagaimana untuk menguruskan diri sendiri seperti makan, minum, bertutur, mengenali anggota keluarga, mengenali anggota badan dan sebagainya. Pendidikan informal ini diterima daripada keluarga, pengasuh dan masyarakat sekeliling. Pendidikan informal adalah pendidikan yang tidak mempunyai jadual pembelajaran kerana boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Seterusnya, Pendidikan informal juga tidak mempunyai institusi yang rasmi, kurikulum, ujian penilaian, pengiktirafan dan organisasi yang khusus. Ibu bapa dan ahli keluarga memainkan peranan penting untuk memberikan pendidikan seperti adab-adab yang merangkumi adab bertutur, adab makan, adab dengan orang yang lebih tua, membersihkan diri serta tingkah laku baik dan buruk dan sebagainya. Sebelum memasuki ke peringkat persekolahan, ibu bapa serta ahli keluarga akan mengajar mereka untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang lain dengan adab-adab yang telah dipraktekkan di rumah selama ini. Kanak-kanak mempelajari semua perkara ini daripada masa ke semasa dan membina kemahiran dalam kehidupannya dalam jangka masa yang berterusan.
Seterusnya, apabila kanak-kanak tersebut sudah mencapai umur lima hingga enam tahun mereka sudah layak untuk mendapatkan pendidikan peringkat sekolah. Pendidikan ini dinamakan Pendidikan Formal yang melibatkan empat peringkat persekolahan iaitu prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan pendidikan tinggi. Pendidikan formal boleh ditakrifkan sebagai proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan secara rasmi mengikut sistem yang ditetapkan oleh kerajaan. Pendidikan Formal adalah berteraskan perkembangan ilmu dan kemahiran untuk jangka masa yang lama. Proses ini berlaku di dalam sesuatu Institusi yang mempunyai struktur dari segi kronologi dan hierarki yang bermula daripada prasekolah hingga ke peringkat pendidikan tinggi serta mempunyai kurikulum rasmi. Pada peringkat persekolahan, setiap individu itu akan diberikan pengajaran yang berterusan dan penekanannya adalah terhadap aspek pembentukan jati diri, perkembangan nilai dan potensi, perkembangan sosial, penghayatan agama dan nilai murni, penyesuaian hidup, pemupukan perpaduan dan nasionalisme, perolehan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta pemilihan kerjaya. Kemudian individu yang ingin melanjutkan pengajian ke pendidikan tinggi akan terus mendapat pendidikan formal. Proses pembelajaran di peringkat pendidikan tinggi adalah lebih kepada pengkhususan bidang masing-masing yang bertumpu ke arah profesion dan kerjaya yang berlainan. Bagi individu yang tidak melanjutkan pelajaran ke pendidikan tinggi, proses pendidikan tetap berterusan dan terus berlaku semasa di tempat kerja atau di dalam masyarakat sekeliling. Pendidikan kendiri juga berlaku dari masa ke semasa melalui kehidupan seharian seseorang dan turut dipengaruhi media massa atau internet.
Akhir sekali, setelah seseorang melalui pendidikan berterusan di peringkat sekolah, mereka akan masuk ke peringkat lepas sekolah iaitu mereka akan menerima Pendidikan Nonformal. Pendidikan Nonformal adalah pendidikan yang disusun dan dilaksanakan di luar daripada sistem pendidikan formal. Pendidikan ini boleh diperoleh melalui program seperti latihan, kursus dalam perkhidmatan, seminar, bengkel, persidangan, forum dan sebagainya. Pendidikan non-formal ialah semua jenis aktiviti pendidikan yang tersusun secara sistematik yang dijalankan di luar sistem pendidikan formal yang bertujuan memberi pembelajaran yang terpilih untuk sesuatu kumpulan di dalam masyarakat. Tenaga pengajarnya adalah daripada ahli masyarakat yang pakar dan juga mempunyai institusi rasmi dan tidak rasmi seperti institusi kerajaan dan swasta. Antara contoh pendidikan non formal adalah program latihan untuk petani, latihan kemahiran kerjaya yang diberikan di luar dari sistem pendidikan formal, program pendidikan mengenai kesihatan, pemakanan, pembangunan keluarga, sijil kemahiran tertentu seperti automotif, kelas menjahit, kelas memasak dan sebagainya. Di sekolah juga berlaku pendidikan nonformal seperti kegiatan kokurikulum di sekolah (aktiviti sukan, persatuan dan kegiatan beruniform), kursus-kursus pendek untuk menambah pengetahuan tentang sesuatu, lawatan sambil belajar yang terancang dan sebagainya. Jadi pendidikan nonformal ini tidak hanya bertumpu kepada individu yang sudah tamat pendidikan di sekolah tetapi murid di sekolah juga mendapat pendidikan nonformal berdasarkan kurikulum kebangsaan yang turut merangkumi kurikulum tidak formal dan kurikulum tersembunyi bertujuan untuk melengkapkan pembangunan insan yang menyeluruh dan seimbang. Berdasarkan konsep pendidikan non-formal yang dibincangkan, ia memberi peluang kepada semua orang untuk melibatkan diri dalam proses pendidikan seumur hidup yang merangkumi berbagai-bagai aspek kehidupan kerana ianya dijalankan secara fleksibel, dijalankan oleh berbagai-bagai agensi dan institusi serta ditujukan kepada semua golongan masyarakat.
Kesimpulannya, konsep pendidikan berterusan yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah untuk melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan yang sentiasa dahagakan ilmu tidak mengira peringkat umur sehingga ke akhir hayatnya. Ungkapan “tuntutlah ilmu sampai ke liang lahad” merupakan ungkapan yang paling sesuai untuk menterjemah konsep pendidikan berterusan ini. Pada zaman yang serba moden ini, pendidikan sudah menjadi satu keperluan yang mesti diberikan kepada setiap masyarakat untuk mencapai matlamat pendidikan negara dan mencorakkan hala tuju pendidikan masa kini dan masa depan demi melonjakkan sistem pendidikan di Malaysia. Oleh itu pendidikan berterusan ini menjadi hasrat utama di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan dan bertamadun tinggi yang dapat menyumbang kepada kemajuan negara.
PROSES PENDIDIKAN
Proses atau pelaksanaan pendidikan menurut Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) adalah mengikut kepada apa yang dinyatakan dalam FPK itu sendiri iaitu pendidikan adalah satu usaha berterusan, pendidikan kearah mengembangkan lagi potensi, fokus kepada individu, pelaksanaan secara menyeluruh, bersepadu, seimbang dan harmonis yang melibatkan komponen intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Proses pendidikan yang dirangka dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini adalah bertujuan untuk mencapai matlamatnya iaitu untuk melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Elemen yang pertama dalam proses pendidikan mengikut Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah pendidikan adalah satu usaha berterusan. Pendidikan adalah satu proses pemerolehan dan pemindahan ilmu, kemahiran dan juga nilai murni. Proses pemerolehan dan pemindahan ini berlaku secara berterusan bermula dari kecil sehingga ke akhir hayat seseorang individu tersebut. Pendidikan bermula daripada rumah oleh ibu kepada kanak-kanak yang berada dalam lingkungan umur antara satu hingga enam tahun. Kemudian mereka meneruskan pendidikan ke alam persekolahan pada peringkat rendah dan menengah. Di sekolah mereka akan dapat mengembangkan bakat dan potensi, bersosial dan membentuk sahsiah dan jati diri yang akan terus berkembang sepanjang tempoh persekolahan. Setelah tamat persekolahan, setiap individu masih terus meningkatkan ilmu, kemahiran dan akhlak mereka. Proses pendidikan yang berterusan ini bagi membantu individu menyesuaikan diri dengan pelabagi perubahan dan kehendak semasa sesuai dengan peredaran zaman yang semakin maju dan berkembang pesat. Jadi pendidikan sebagai usaha berterusan ini menjadi tanggungjawab pelbagai pihak seperti ibu bapa, kerajaan, guru-guru, masyarakat dan sebagainya untuk memastikan usaha ini tidak terhenti selepas di peringkat persekolahan demi mencapai matlamat yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Seterusnya elemen yang kedua ialah mengembangkan lagi potensi individu dimana setiap individu itu mempunyai bakat yang tersendiri sama ada semulajadi ataupun perlu digilap. Potensi individu ini boleh dibahagikan pula kepada 4 iaitu unsur iaitu intelek, emosi, rohani dan jasmani. Melalui pendidikan potensi individu boleh diperkembangkan dan digilap. Setiap individu telah diberkati Tuhan dengan bakat, potensi dan kebolehan yang mungkin terpendam. Melalui pendidikan, bakat dan potensi ini perlu sebaik-baiknya dicungkil, dipupuk, dikembangkan dan dipertingkatkan sehingga mencapai tahap yang cemerlang. Bakat, potensi dan kebolehan akan menjelma melalui interaksi sosial dengan orang lain dan alam sekeliling. Maka pendidikan seharusnya memberikan peluang kepada individu untuk mengembangkan bakat, potensi dan juga kebolehan mereka. Usaha mengembangkan lagi potensi dan bakat individu ini memerlukan perencanaan yang teliti dan pelaksanaan yang bersungguh-sungguh demi mencapai hasil yang dihasratkan. Jika semua pihak bekerjasama memainkan peranan masing-masing dalam usaha murni ini sudah tentu ianya tidak menjadi masalah dan keberhasilan individu itu akan dapat dilihat secara berterusan.
Perkembangan potensi individu yang terdiri daripada empat unsur tadi iaitu intelek, rohani, emosi dan jasmani itu telah membawa kepada perkembangan pada proses yang seterusnya iaitu perkembangan potensi secara menyeluruh dan bersepadu. Bakat, potensi dan kebolehan tidak boleh dikembangkan secara berasingan sebaliknya dihubungkait dan disepadukan bagi mengelakkan pertentangan antara satu sama lain. Perkembangan potensi secara menyeluruh merangkumi empat unsur tersebut membolehkan seseorang individu itu mencapai penguasaan ilmu, kemahiran, nilai, budaya dan kepercayaan. Penggabungan empat unsur ini secara bersepadu amatlah diperlukan bagi mewujudkan manusia yang seimbang dalam memenuhi keperluan hidupnya. Oleh sebab itu proses pendidikan dalam mengembangkan potensi individu ini dilakukan secara menyeluruh dan bersepadu dan bukannya hanya tertumpu kepada satu unsur sahaja. Potensi yang ada pada diri individu hendaklah diperkembangkan ke peringkat optimum dengan cara mengintegrasi bakat dan kebolehannya yang saling berkait di antara satu sama lain.
Perkembangan potensi unsur yang pertama iaitu intelek dapat memastikan seseorang itu boleh berfikiran secara kreatif dan kritis, memanfaatkan ilmu serta menyebarkannya dan juga menguasai kemahiran 4M iaitu menulis, membaca, mengira dan menaakul. Unsur rohani pula adalah berkaitan dengan jiwa iaitu hubungan antara manusia dengan penciptanya. Perkembangan unsur rohani adalah penting bagi melahirkan individu yang berakhlak mulia dan mensyukuri nikmat Tuhan. Unsur yang ketiga iaitu emosi ialah berkaitan dengan jiwa individu yang mana memberi kawalan kepada tingkah laku dan tindakannya. Perkembangan emosi yang sempurna mampu menjadikan seseorang mempunyai perasaan tenang dan memupuk perasaan kasih sayang dan perpaduan. Unsur yang terakhir pula ialah jasmani iaitu unsur fizikal individu yang berkaitan anggota tubuh badan. Perkembangan potensi jasmani adalah bagi memastikan seseorang dapat menjaga kesihatan tubuh badan, memanfaatkan tenaga fizikal kearah yang bermanfaat untuk kepentingan semua serta mengembangkan lagi bakat dan kemahirannya. Perkembangannya juga dapat meningkatkan daya pengeluaran demi memberi sumbanga kepada kemajuan negara.
Setiap aspek yang dikembangkan tadi akan melahirkan manusia yang seimbang dan harmonis. Maksud seimbang dan harmonis disini ialah insan yang berilmu pengetahuan, mempunyai akhlak mulia, percaya dan yakin kepada tuhan, mempunyai jiwa dan fikiran yang tenteram, sihat tubuh badan, serta matang dari segi emosi dan sosialnya. Insan yang seimbang dan harmoni ini mempunyai intelek, rohani, emosi dan jasmani yang telah diperkembangkan secara kritikal dan bersepadu. Hal ini dapat dilihat dalam kehidupan harian atau tingkah laku individu yang bertanggungjawab, menghormati orang lain, mempunyai kesedaran kendiri yang tinggi dan mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan tenang dan cepat. Disamping itu, manusia yang sejahtera merupakan manusia yang perkembangan dirinya berlaku secara menyeluruh melibatkan semua potensi diri. Contohnya manusia yang berjaya dalam kerjayanya, bersyukur dengan nikmat yang diberikan Tuhan kepadanya akan tetapi pada masa yang sama sedia berhadapan dengan segala cabaran dan rintangan yang dihadapi, bertingkah laku baik, tidak mementingkan diri sendiri dan sedia membantu orang lain serta prihatin. Berbeza dengan seseorang yang memiliki kejayaan dengan memiliki jawatan yang tinggi dan pendapatan yang lumayan tetapi tidak mempunyai akhlak yang baik, tidak menghormati orang lain serta mementingkan diri sendiri menunjukkan kehidupannya tidak harmonis kerana ketidakseimbangan yang berlaku. Oleh sebab itu FPK menekankan pembangunan insan secara seimbang dan menyeluruh supaya manusia dapat menjalani kehidupannya secara harmoni yang akan memberi kesan yang positif kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Akhir sekali, perlaksanaan atau proses pendidikan yang dijalankan adalah berpaksikan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Seperti yang kita tahu, semua agama itu mengajak manusia kearah kebaikan dan hidup dengan penuh hikmah. Mengamalkan kepercayaan beragama dan mematuhi segala perintah agama adalah penting dalam membentuk jati diri dan mengawal individu. Kepercayaan ini merupakan keyakinan bahawa manusia dan alam sekitar tidak terjadi secara sendiri tetapi ada Penciptanya, dan hukum-hukum alam adalah hukum-hukum Tuhan. Manusia harus patuh kepada Tuhan dengan memikul amanah dan bertanggungjawab ke atas amanah yang diberikan Tuhan kepadanya dalam usaha mentadbir dan memakmurkan alam ini. Sekiranya amanah ini tidak dilaksanakan dan diabaikan oleh manusia, ia boleh menyebabkan timbulnya huru hara yang dapat menggugat kesejahteraan kehidupan manusia di alam ini.
Kesimpulannya, proses dan pelaksanaan pendidikan yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan mengandungi perkara-perkara yang menjadi panduan sistem pendidikan di negara kita pada hari ini. Kurikulum yang dibentuk adalah berdasarkan proses pendidikan yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan supaya dapat mencapai matlamat-matlamat yang dihasratkan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan diwujudkan sebagai panduan kepada para pendidik untuk terus produktif dan kreatif dalam melaksanakan aktiviti pendidikan demi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu selari dengan perkembangan zaman yang dapat memberikan sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Comments
Post a Comment